Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Penularan terkawal jika kadar kebolehjangkitan bawah 1.0

PUTRAJAYA, 2 MEI: Penularan Covid-19 dalam masyarakat terkawal selagi kadar kebolehjangkitan (RO), atau disebut ‘R-Naught’, kurang daripada 1.0 dengan kadar di Malaysia ketika ini kira-kira 0.7, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu, kadar kebolehjangkitan Malaysia adalah 3.55 dan pada 14 April, RO itu kurang daripada 1.0.

“Apabila kita melihat kepada tindakan kita sekarang iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita jangkakan RO akan kekal kurang daripada 1.0,” katanya apabila ditanya mengenai unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila sebahagian besar sektor ekonomi mula beroperasi Isnin ini.

Pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini, beliau berkata perubahan RO akan dipantau KKM dengan terperinci setiap hari dan akan dimaklumkan dari segi kes seharian yang dicatatkan.

Dr Noor Hisham berkata sekiranya perniagaan yang beroperasi mulai Isnin ini tidak mematuhi tatacara operasi piawai SOP KKM, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dan premis mereka akan ditutup.

Sebagai contoh, beliau berkata sekiranya ada penularan virus Covid-19 dalam kalangan pekerja di kilang, KKM akan melaksanakan PKP Diperketatkan, yang tidak hanya terhad kepada lokaliti tetapi boleh dikembangkan kepada satu kampung, mukim, daerah atau negeri jika perlu.

Mengenai kebimbangan masyarakat mengenai tindakan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlalu cepat, Dr Noor Hisham berkata pendekatan Malaysia berbeza berbanding dengan negara lain.

“Berbanding dengan negara-negara lain, mereka menghapuskan kawalan sempadan. Kita (Malaysia) belum lagi, rakyat Malaysia yang kembali perlu menjalani kuarantin wajib dan pemeriksaan. Itu masih dilaksanakan dan akan dipertingkatkan,” katanya.

Dr Noor Hisham menegaskan PKP bukan bertujuan menghentikan penularan virus tetapi objektif utama pada asasnya adalah untuk meratakan lengkungan dan negara telah berjaya berbuat demikian.

– BERNAMA


Pengarang :