Trend penggunaan vape menggantikan rokok menjadi perbincangan di Pretoria, Afrika Selatan pada 1 September 2019. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Perokok berisiko dapat komplikasi teruk jika dijangkiti

SHAH ALAM, 31 MEI: Golongan perokok berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti wabak Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rekod menunjukkan kes kematian Covid-19 membabitkan individu yang merokok lebih tinggi iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus bagi bukan perokok.

“Tabiat merokok terbukti mengakibatkan pelbagai penyakit dan melemahkan sistem imuniti manusia sekali gus meningkatkan risiko jangkitan bakteria terutama semasa Covid-19.

“Analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Malaysia mendapati 19.8 peratus (iaitu 17 orang) adalah golongan perokok,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata pihaknya mengesan 118 laman sesawang persendirian, e-dagang dan media sosial yang melakukan kesalahan penjualan produk merokok sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta PKP Bersyarat (PKPB) dengan kesemua mereka sudah dikenakan tindakan.

“KKM akan terus membuat pemantauan bagi kesalahan penjualan produk merokok walaupun ketika tempoh PKP dan PKPB kebanyakan premis penjualan tidak beroperasi seperti dahulu, namun (penjualan) dalam talian masih giat berjalan misalnya saluran e-dagang.

“Kesalahan penjualan dalam talian dan penjualan produk mengandungi nikotin masing-masing dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Racun 1952,” kata beliau.


Pengarang :