Pengunjung Pasaraya Giant Seksyen 7, Shah Alam mengambil peluang membeli keperluan harian dengan mematuhi penjarakan sosial dan mengenakan pelitup muka ketika tinjauan pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Sepang hampir zon hijau, penduduk digesa disiplin

SHAH ALAM, 17 MEI: Penduduk di Sepang digesa supaya terus mengekalkan tahap disiplin sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) bagi membolehkan daerah itu mencapai status zon hijau secara keseluruhan.

Berdasarkan maklumat dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), setakat 12 tengah hari tadi daerah terbabit masih memiliki satu kes aktif di mukim Labu.

“Warga Sepang diminta kekal disiplin supaya dapat menjadi daerah zon hijau yang seterusnya di Selangor.

“Sangat perlu ditekankan bahawa penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan pakai pelitup muka itu bukanlah soal main-main, semua itu mahu menjamin nyawa anda juga. Jadi teruskan berdisiplin,” tulisnya di Facebook.

Semalam, Kuala Selangor diisytihar sebagai daerah kedua di negeri ini yang mendapat status tersebut susulan tiada pertambahan kes aktif Covid-19.

Kuala Langat pula masih memegang status zon hijau sejak 8 Mei lalu.

Sehingga kini, enam daerah berada dalam zon kuning iaitu Hulu Langat (33), Gombak (14), Klang (11), Hulu Selangor (lapan) dan Sabak Bernam (tiga) termasuk Sepang.

Petaling pula masih kekal di zon merah dengan merekodkan 49 kes aktif.


Pengarang :