Selangorkini
Seorang wanita memakai pelitup muka di sebalik kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di Thailand pada 4 Mac 2020. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand lanjut perintah darurat hingga 30 Jun

BANGKOK, 22 MEI: Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) hari ini bersetuju agar perintah darurat di negara itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini berikutan keadaan pandemik Covid-19 dunia masih belum stabil.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen. Prayuth Chan o-cha hari ini yang turut membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh perintah berkurung berbanding 11 malam hingga 4 pagi sekarang.

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata pelanjutan perintah darurat itu juga bagi membolehkan kerajaan menggubal langkah-langlah yang lebih berkesan untuk mengekang wabak selain bersedia untuk fasa pelonggaran seterusnya.

“Pelanjutan tempoh perintah darurat ini tertakluk kepada persetujuan kabinet pada Selasa,” katanya pada taklimat media harian Covid-19 di sini.

Thaweesilp berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 29 Mei ini bagi membincangkan pelonggaran lebih banyak sekatan.

“Fasa ketiga pelonggaran dijangka bermula 1 Jun,” katanya.

Thailand sebelum ini mengumumkan pelaksanaan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kerajaan mula melonggarkan sekatan pada 3 Mei yang menyaksikan enam jenis perniagaan dan venue dibuka semula dan fasa kedua bermula pada 17 Mei.

Sementara itu, Thaweesilp berkata tiada kes baharu jangkitan atau kematian akibat Covid-19 direkodkan Thailand dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 kekal pada 3,037 kes dengan 56 kematian.

– BERNAMA


Pengarang :