Dr Noor Hisham mendengar penerangan daripada petugas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC). Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

CPRC Perkhidmatan Hospital jadi pusat selaras semua krisis – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Perkhidmatan Hospital akan menjadi pusat penyelarasan perkhidmatan hospital untuk semua bentuk krisis pada masa hadapan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pusat itu dilengkapi dengan sistem telekomunikasi terkini bagi mempermudahkan penggunaan persidangan video dan membuat pelbagai keputusan dalam pengurusan wabak Covid-19.

“CPRC Perkhidmatan Hospital akan bersidang setiap hari termasuk pada hari minggu dan cuti umum semasa wabak Covid-19 ini berlaku. Ia menggunakan sistem khas yang dibangunkan khusus untuk wabak ini bagi memantau penggunaan katil hospital Covid-19, katil ICU (Unit Rawatan Rapi) serta pusat rawatan atau kuarantin berisiko rendah seluruh negara (CPRC Hospital Services Dashboard).

“Strategi diatur dan keputusan dibuat menggunakan data yang dihantar melalui sistem ini setiap hari oleh pihak hospital,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Menurut beliau, CPRC Perkhidmatan Hospital telah ditubuhkan bagi membantu menangani pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan khususnya berkaitan pengurusan pesakit di hospital.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 8,821 katil di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah telah disediakan untuk menempatkan pesakit Covid-19 dan kadar penggunaannya adalah sebanyak 14 peratus, setakat ini.

“(Sebanyak) 118 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dan dua hospital universiti yang dikhaskan untuk menjalankan saringan Covid-19. Bagi rawatan Covid-19, 40 hospital termasuk dua hospital universiti telah dikenal pasti dengan kapasiti terkini sebanyak 4,946 katil.

“Pada masa sama, terdapat 26 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah dengan kapasiti terkini 3,875 katil bagi merawat pesakit positif Covid-19 yang mempunyai gejala ringan dan stabil.

“Kadar penggunaan katil buat masa ini adalah rendah kerana jumlah kes aktif Covid-19 semakin menurun dan banyak kes yang telah sembuh,” katanya.

Di samping memaklumkan terdapat 15 makmal di hospital KKM yang menjalankan ujian pengesanan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata majoriti makmal berkenaan telah menggunakan platform automasi seperti ‘automated extractor’ bagi mempercepatkan proses menjalankan ujian penyakit itu.

– BERNAMA


Pengarang :