Pekerja sedang meneliti kualiti sarung tangan getah di kilang memproses Top Glove di Kawasan Perindustrian Meru pada 10 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat aliran peningkatan minggu depan berikutan pertambahan permintaan terhadap komoditi itu susulan pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata industri sarung tangan getah terus menerima pesanan yang besar di peringkat antarabangsa, menyebabkan permintaan ke atas lateks pukal meningkat.

“Banyak industri kembali beroperasi seperti biasa dan apabila China meningkatkan operasi kilang-kilang dan logistik mereka, permintaan terhadap getah turut melonjak.

“Sebarang tindakan oleh industri berasaskan getah misalnya tayar untuk kenderaan bermotor sudah tentu akan meningkatkan permintaan terhadap komoditi itu memandangkan permintaan terbesar penggunaan getah adalah untuk tayar kereta,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah menyaksikan dagangan bercampur-campur berikutan para peniaga terus tidak memasuki pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global akibat ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China, berikutan peniaga kembali ke pasaran selepas cuti umum panjang di China dan Jepun.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 3.5 sen kepada 4645.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 12 sen kepada 423.0 sen sekilogram.

Pasaran tempatan akan ditutup pada Isnin sempena cuti umum Nuzul al-Quran yang jatuh pada Ahad.

-BERNAMA


Pengarang :