Selangorkini
Anggota Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri bagi mengawal laluan keluar masuk di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur pada 4 Mei 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Dua kawasan di Selayang, Chow Kit belum diisytihar PKP Diperketatkan

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan belum mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Selayang dan Chow Kit, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata ketiga-tiga kawasan itu hanya diketatkan dari segi pentadbiran bagi mengawal aktiviti serta pergerakan penduduk dan orang ramai.

“Selagi saya belum umum, (maka) tak ada PKPD, ada sesetengah kawasan itu kita perketatkan secara pentadbiran, mungkin kita letak kawat berduri, tetapi belum isytihar (PKPD) dan buat saringan (Covid-19) kepada penduduk,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas laporan awal hari ini yang menyebut Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, serta kawasan sekitar Jalan Raja Bot di Chow Kit telah dikenakan PKPD.

Sejak awal pagi tadi, tular di media sosial apabila warga maya memuat naik gambar anggota tentera melaksanakan kawalan di sekitar Chow Kit, selain memasang kawat berduri di Taman Wilayah.


Pengarang :