Orang ramai mematuhi penjarakan sosial satu meter ketika membeli barangan keperluan harian di Pasar Kajang pada 19 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Dua peniaga Pasar Awam Kajang dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 14 MEI: Dua peniaga di Pasar Awam Kajang masing-masing dikompaun RM1,000 kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan di premis mereka semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata tindakan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Pemeriksaan dilakukan penguat kuasa Pejabat KPDNHEP Kajang di Pasar Awam Kajang bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

“Semasa pemeriksaan, dua tindakan kes dilakukan mengikut AKHAP 2011 kerana peniaga gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan di premis perniagaan masing-masing,” kata KPDNHEP Selangor di Facebook hari ini.

Jelas kenyataan itu, pemeriksaan akan terus dilakukan bagi memantau bekalan barang sentiasa cukup selain tiada kenaikan harga.

“KPDNHEP Selangor juga memeriksa resit dan invois pembelian barangan oleh peniaga dan merekodkan semua maklumat tersebut,” katanya.


Pengarang :