Petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan proses nyahkuman di Pasar MBSA Pekan Subang, Shah Alam pada 29 Mac 2020 bagi mencegah penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Empat positif Covid-19, orang awam ke Pasar Jalan Othman perlu disaring

SHAH ALAM, 1 MEI: Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengesan empat kes positif Covid-19 hasil daripada saringan Pasar Besar Jalan Othman yang tamat pada 29 April lalu, kata pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling.

Johary Anuar berkata sehubungan itu, peniaga dan orang awam yang mengunjungi pasar berkenaan sejak 5 hingga 18 April lalu dimestikan menjalani saringan.

“Pasar Besar Jalan Othman akan terus ditutup sehingga semua saringan selesai melibatkan 1,500 peniaga dan pekerja di situ,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Johary berkata 303 individu yang disyaki kontak rapat dengan kes Covid-19 di Pasar Besar Jalan Othman dan Pasar Taman Megah sudah menjalani ujian saringan virus.

Sebelum ini, Pasar Jalan Othman ditutup berikutan peniaga ikan berusia 51 tahun disahkan positif Covid-19 pada 24 April lalu manakala Pasar Taman Megah pula selepas itu berikutan seorang peniaga sayur dilaporkan positif wabak berkenaan.

Kedua-dua pasar berkenaan ditutup sekurang-kurangnya lima hari bermula 28 April lalu untuk pemeriksaan saringan dan proses sanitasi.


Pengarang :