Suasana di sekitar perumahan di Bandar Baru Selayang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan SelangorKini pada 29 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gelombang kedua Covid-19, Malaysia turut bimbang – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 12 MEI: Gelombang kedua penularan jangkitan Covid-19 pastinya menjadi kebimbangan banyak negara dan Malaysia juga tidak terkecuali, kata ketua pengarah kesihatan.

Namun, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata usaha Malaysia menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu hingga empat berjaya melandaikan keluk dan menurunkan jumlah kes dari tiga kepada dua digit.

“Ya benar, banyak negara yang bimbang dengan gelombang kedua penularan jangkitan Covid-19, begitu juga kita turut bimbang mengenainya

“Tapi apa yang penting hari ini kita sudah melaksanakan (PKP) satu hingga empat, dan kita dapat lihat kejayaan pelaksanaan yang mana berjaya landaikan keluk dan menurunkan jumlah kes dari tiga digit kepada dua.

“Hari ini menjadi angka terendah yang pernah dicapai iaitu 16 kes yang mana tiga darinya adalah kes import dan 13 penularan tempatan, daripada jumlah ini sembilan membabitkan pendatang asing manakala empat warga tempatan, jadi apa yang kita lakukan sehingga kini sangat bagus,” katanya dalam sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, hasil hari ini adalah kesan apa yang dirancang kerajaan dua minggu lalu.

“Jadi saya harap kita akan teruskan momentum dua digit kes dan kurangkan jangkitan tempatan.

Malah untuk bagi kesimbangan kita benarkan sektor ekonomi beroperasi dan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.

“Kita juga laksanakan enam strategi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) termasuk memperketatkan kawalan sempadan serta memantau kes kumulatif dan harian bagi meneruskan usaha memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.


Pengarang :