Anggota Imigresen membawa sebahagian warga asing untuk diperiksa dokumen perjalanan ketika operasi serbuan terhadap warga asing di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) Pasar Jalan Othman pada 20 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guna kaedah cegah HIV, asing penempatan pekerja asing

SHAH ALAM, 28 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan pihak berkaitan berhubung pengasingan penempatan pekerja asing bagi mencegah penularan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara perkara wajar diberi perhatian adalah penggunaan kaedah menangani penyakit HIV untuk mengawal penularan penyakit dalam kalangan warga asing.

“Cadangan berkaitan penempatan warga asing dan kaedah pencegahan akan dibincang secara menyeluruh dengan pihak atau agensi berkaitan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jadi amat penting untuk kita semua merangka satu penyelesaian menyeluruh bagi mengurangkan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan warga asing yang telah berlarutan sejak sekian lama, selain mengundang pelbagai penyakit seperti tibi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dilaporkan berkata kes dan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga asing boleh dikawal dengan menggunakan model menangani penyakit HIV untuk penagih dadah di negara ini.

Pendekatan itu dipilih kerana kes dan risiko jangkitan dalam kalangan warga asing adalah isu rumit dan perlu ditangani secara menyeluruh, malah golongan terpinggir itu perlu didekati bagi memberi maklumat kepada mereka dalam bahasa serta istilah yang boleh difahami.


Pengarang :