Petugas perubatan melakukan saringan Covid-19 melalui kaedah pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 20 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hanya enam pesakit baharu Covid-19 di Selangor hari ini

SHAH ALAM, 8 MEI: Jumlah pesakit baharu Covid-19 di Selangor menurun apabila merekodkan hanya enam kes setakat jam 4.45 petang tadi, berbanding 16 semalam.

Mengikut statistik Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, kes baharu membabitkan dua daerah iaitu Petaling (empat) dan Klang (satu) manakala satu kes import.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan terkini kes jangkitan 1,586 kes dengan kes aktif adalah 221.

“Seramai 1,303 pesakit sudah pulih dan dibenar keluar hospital manakala jumlah kematian kekal 20 mangsa,” katanya di Twitter.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan tiada perubahan ketara bagi semua status mukim dan daerah hari ini.

“Jumlah kes aktif hari ini berkurangan daripada semalam kepada 221 kes manakala enam orang sembuh daripada jangkitan,” tulisnya di Twitter.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) di Selangor adalah sekadar kelonggaran untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

Justeru, setiap warga Selangor masih perlu mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh berkenaan.

“Setiap warga Selangor masih lagi tertakluk kepada undang-undang yang sedang terlaksana pada tempoh ini,” kata STFC.

STFC turut mengingatkan kendera saji dan penjaja jalanan hanya boleh beroperasi pada 12 Mei ini.

“Tidak boleh beroperasi sama seperti restoran, medan selera dan gerai makan (berbumbung). Namun pelitup muka wajib!” tulis STFC.


Pengarang :