Tinjauan keadaan semasa di sekitar hab perhubungan utama Kuala Lumpur iaitu Stesen Sentral Kuala Lumpur dan pusat beli-belah Nu Sentral pada 17 Mac 2020 menunjukkan orang ramai masih melakukan aktiviti seperti biasa, namun pemakaian topeng muka dilihat semakin menjadi kebiasaan susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ibu bapa dinasihat tidak bawa anak ke pusat beli-belah

SHAH ALAM 19 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih mengambil pendekatan menasihati ibu bapa yang degil membawa anak-anak kecil ke tempat awam terutama pusat beli-belah, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan KKM berkata pihaknya sudah bermesyuarat dengan MKN hari ini membincangkan perkara tersebut.

“Pagi tadi ada mesyuarat dengan MKN dan polis bangkitkan isu ini (ibu bapa bawa anak ke tempat awam). Kalau masukkan dalam akta, saman RM1,000 atau jika tidak dibayar, akan dibawa ke mahkamah.

“Tetapi buat masa ini, polis akan ambil tindakan untuk memberi nasihat dan amaran terlebih dahulu. Harap rakyat patuh dengan undang-undang dan tidak berdegil,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) perlu terus dipertingkatkan walaupun kes positif jangkitan Covid-19 kekal mencatatkan dua angka.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat juga tular di media sosial ibu bapa mula membawa anak kecil ke pusat beli-belah tanpa rasa bimbang dengan jangkitan Covid-19.


Pengarang :