Sebuah pesawat penumpang Boeing 777 membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFP
AGENDANASIONAL

Ibu bapa penuntut terkandas di Sudan harap kerajaan bawa pulang

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Kalangan ibu bapa yang mempunyai anak belajar di Sudan memohon bantuan kerajaan Malaysia untuk membawa anak mereka pulang berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Wakil ibu bapa berkenaan, Mohd Shah Sapiei berkata terdapat kira-kira 45 penuntut Malaysia yang terkandas di negara itu dan tidak dapat pulang ke Malaysia kerana Sudan telahpun melaksanakan perintah sekatan pergerakan dan semua lapangan terbang telah ditutup.

“Yang merisaukan kami ibu bapa adalah masalah pandemik ini semakin buruk dari sehari ke sehari. Kami turut difahamkan pelajar di sana memaklumkan yang keadaan rawatan dan hospital negara itu sangat mendukacitakan.

“Kami harap sangat kerajaan Malaysia terutamanya pihak kedutaan dapat adakan satu misi khas segera untuk membawa balik semua pelajar ini kerana kes di sana semakin membimbangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.

Mohd Shah berkata anaknya Muhammad Hafidzin adalah seorang daripada penuntut di International University of Africa, wilayah Khartoum yang terkandas bersama-sama 16 penuntut Malaysia yang lain di Rumah Ettihad Malaysia.

Sementara itu, Muhammad Hafidzin ketika dihubungi Bernama juga memaklumkan 12 orang daripada penuntut Malaysia yang menetap di Rumah Ettihad Malaysia telah mempunyai gejala Covid-19, namun kini menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.

“Kebanyakan mereka dilihat bergejala sekitar 13 hingga 15 Mei lalu iaitu ketika pertengahan bulan Ramadan. Mujur pihak kedutaan Malaysia datang melawat dan beri bantuan ubat-ubatan seperti ubat batuk dan demam.

“Mereka juga ada beri bantuan berupa barangan untuk nyahkuman seperti bahan pembasmi kuman dan Clorox. Terima kasih banyak kami ucapkan buat pihak kedutaan Malaysia kerana prihatin dengan situasi kami,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di laman Facebook Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan pada 18 Mei, 12 orang daripada 17 penuntut Malaysia yang tinggal di Rumah Ettihad Malaysia dilaporkan tidak sihat beberapa hari sebelum itu dan dibimbangi dijangkiti Covid-19.

“Antara gejala yang dialami pelajar ini seperti demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak, hilang deria rasa dan kelesuan. Sehingga kelmarin ada beberapa pelajar yang menunjukkan perubahan semakin pulih demam tetapi masih lesu”.

Dalam hantaran itu juga menyatakan wakil ketua rumah telah menghubungi pihak hospital yang menguruskan Covid-19 di Khartoum dan setakat ini semua pelajar itu dinasihatkan untuk terus kuarantin di rumah selama 14 hari dan rumah itu berada dalam pemerhatian pihak hospital.

Menurut laman web worldometer.info untuk data setakat hari ini, kes positif Covid-19 di Sudan telah mencecah 4,521, dengan kematian direkodkan sebanyak 233.

– BERNAMA


Pengarang :