Petugas Kesihatan Selcare membuat Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Individu 61 hingga 70 tahun paling ramai mati akibat Covid-19

SHAH ALAM, 3 MEI: Warga emas berusia 61 hingga 70 tahun adalah kumpulan umur merekodkan bilangan kematian tertinggi Covid-19 iaitu 32 orang daripada 99 angka korban, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumpulan umur kedua tertinggi antara 71 sehingga 80 tahun dengan 19 mangsa menghidap penyakit kronik.

“Ahli keluarga kepada warga emas digalakkan untuk kekal mengamalkan langkah-langkah pencegahan kerana mereka berpotensi menyebarkan jangkitan Covid-19 kepada ibu bapa atau datuk nenek mereka.

“Pastikan juga mereka (warga emas) dibawa untuk mendapatkan rawatan segera jika didapati tidak sihat, pastikan bekalan ubatan mencukupi dan patuhi temu janji rawatan,” katanya pada sidang media media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata warga emas perlu kekal berada di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya keluar untuk urusan penting lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.


Pengarang :