Keadaan aliran trafik menuju ke Plaza Tol Rawang Selatan terkawal ketika tinjauan hari keempat Pergerakan Rentas Negeri yang memohon melalui aplikasi Gerak Malaysia pada 10 MEI 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu bujang belum dibenar rentas negeri jumpa keluarga

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerajaan belum memberi kelonggaran kepada individu bujang merentas negeri untuk pulang berjumpa keluarga, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata golongan itu masih tertakluk kepada peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita benarkan keluarga yang terpisah itu dari segi kemanusiaan, kita faham anak yang hampir dua bulan tidak berjumpa ibu bapa mereka akibat peraturan ini.

“Larangan rentas sempadan negeri masih diteruskan, jadi selagi tiada pengecualian kepada sesiapa, maka mereka masih tertakluk dengan peraturan yang tidak membenarkan rentas negeri walaupun orang bujang,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri turut mengakui ramai individu bujang yang mula merindui keluarga masing-masing di kampung terutama menjelang musim perayaan.

“Sabar dulu, kalau sampai masa kita perlu ada kelonggaran, kita akan buat. Bagaimanapun, setakat ini tiada (kelonggaran) lagi dan mereka mesti patuh,” katanya.

Semalam, kerajaan membenarkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan di dua negeri untuk melakukan perjalanan rentas negeri dengan mengemukakan permohonan kepada polis.

Bagaimanapun, keistimewaan tersebut hanya terhad sekali seminggu.


Pengarang :