Pesara kerajaan Misri Parlan, 66, (kanan) bersama menantunya A.D Safian Mohd Dimyati, 37, (dua, kanan) berbincang dengan peguam mereka Nicholas Cheoh (kiri) sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang pada 30 April 2020 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19. Hakim memerintahkan Misri Parlan menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) iaitu melakukan khidmat masyarakat selama empat jam sehari bagi tempoh dua bulan berkuat kuasa selepas tempoh PKP berakhir manakala menantunya didenda RM2,000. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu ingkar PKP tidak disiasat di bawah kesalahan jenayah

PUTRAJAYA, 2 MEI: Individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak disiasat di bawah Kanun Keseksaan sebaliknya siasatan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata oleh yang demikian, nama individu yang mengingkari PKP tidak direkod dalam sistem jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Individu yang mengingkari PKP tertakluk kepada Akta 342 yang tidak menjadikan ia satu kesalahan jenayah direkodkan sebaliknya ia amat berbeza dengan jenayah yang disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

“Kalau mereka (orang ramai) melakukan jenayah ingkar PKP mereka hanya perlu membayar kompaun dan ingkar PKP merupakan kesalahan lain yang bukan seperti dituduh di bawah Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media harian PKP di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain ditanya mengenai sama ada sekatan jalan raya perlu diteruskan atau sebaliknya berikutan PKP akan diberi beberapa kelonggaran bermula Isnin ini, Ismail Sabri berkata keputusan berkenaan bergantung kepada PDRM.

“Yang pertama dari segi tindakan sekatan jalan raya pihak PDRM akan memutuskan sama ada ia perlu dikurangkan atau dikekalkan,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM akan mengurangkan sekatan jalan raya mulai Isnin ini dan akan memfokuskan kepada penguatkuasaan pematuhan jarak sosial selain mengekang kemasukan pendatang tanpa izin serta kegiatan penyeludupan.

Ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa Isnin depan (4 Mei) yang diumumkan kerajaan yang memberikan beberapa kelonggaran berbanding PKP.

Dalam pada itu, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 820 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 486,307 kenderaan.

Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah 23,266 individu.

Mengenai operasi nyahkuman awam Covid-19, beliau berkata sebanyak 5,069 nyahkuman termasuk di 61 Zon Kuning dan Merah manakala sebanyak 8,769 premis kerajaan, premis perniagaan dan kawasan awam telah dilakukan sejak 30 Mac lepas.

Dalam pada itu, mengenai pengurusan pusat kuarantin, beliau berkata sehingga hari ini, sebanyak 237 pusat kuarantin telah beroperasi dengan 17,375 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 548 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :