Adik Mohd Zarif Iman Mohd Ashnor (kanan) bersama abangnya Mohd Irfan Hadi Mohd Ashnor bermain bunga api berhampiran 200 pelita yang dipasang bagi menghasilkan frasa ‘Raya KL Je’ ketika tinjauan di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besi pada 21 Mei 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ingat pengorbanan petugas hadapan, patuhi SOP ketika beraya

PUTRAJAYA, 23 MEI: Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyambut 1 Syawal esok amat diperlukan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Jangan sia-siakan pengorbanan petugas yang berada di barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus tidak mengira waktu termasuk bertugas pada hari perayaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa khas menteri-menteri berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan di Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau berkata, Aidilfitri tahun ini perlu disambut secara sederhana bersama keluarga terdekat sahaja dan aktiviti ziarah-menziarahi keluarga lain dan rakan-rakan perlu ditangguhkan.

“Ingat, sambutan Hari Raya dihadkan kepada 20 orang sahaja sehari. Had ini tertakluk kepada saiz kediaman masing-masing. Pastikan jarakan sosial dan kebersihan diri sentiasa diamalkan,” katanya lagi.

Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai bahawa aktiviti riadah secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan dan polis akan membuat rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan suasana sambutan Aidilfitri adalah terkawal.

“Pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan dengan mengingatkan ahli komuniti masing-masing supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan kawalan kendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri menasihati ibu bapa yang ingin membawa anak-anak bermain di taman permainan kanak-kanak supaya berhati-hati untuk memastikan anak-anak mereka tidak dijangkiti dengan virus Covid-19.

Walaupun aktiviti riadah dibenarkan, namun ia tidak boleh dilakukan dalam kumpulan yang ramai untuk mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Kalau bawa anak-anak hanya dua tiga orang dibenarkan, tetapi kalau boleh menyebabkan tindakan berkumpulan ramai, maka ia satu kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat hari ini bersetuju dengan permohonan daripada jawatankuasa Kawasan Rukun Tertangga (KRT) untuk mengadakan rondaan di bawah Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, Kementerian Perpaduan Negara diminta untuk menyediakan SOP KRT bagi melaksanakan rondaan SRS untuk memastikan ia mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kita bersetuju KRT terlibat kerana ia salah satu program untuk memperkasa komuniti setempat… dan mengalu-alukan permintaan daripada KRT untuk sama bantu kerajaan dalam mengadakan rondaan mereka bagi memantau pematuhan SOP,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :