Penguat kuasa KPDNHEP Selangor mengeluarkan kompaun ke atas sebuah kedai di Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2020. Foto ihsan KPDNHEP
AGENDANASIONAL

Ingkar skim harga musim raya, RM92,500 kompaun dikutip seminggu

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), telah mengutip kompaun sebanyak RM92,500 di seluruh negara, sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam tempoh 21 hingga 27 Mei, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 15,037 premis perniagaan, dan telah menerima 21 aduan daripada orang ramai, berkaitan dengan harga barang.

“Pegawai penguatkuasa telah merekodkan sebanyak 39 jumlah kes, di mana terdapat 11 peniaga yang menjual barang melebihi harga yang ditetapkan, dan 28 lagi gagal meletakkan tanda harga kepada barang yang dijual, mereka semua telah diambil tindakan.

“Pihak kami telah membuat rampasan bernilai RM8,990 dan jumlah kompaun setakat ini yang telah dikutip adalah sebanyak RM92,500 sejak penguatkuasaan SHMMP,” katanya pada pihak media dalam lawatan dan pemeriksaan sempena SHMMP di ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Setiawangsa.

Dalam pada itu beliau menasihatkan supaya semua peniaga mematuhi harga yang telah ditetapkan terhadap 35 jenis barangan yang dikawal KPDNHEP, dan mencontohi pasar raya seperti ST Mart Rosyam Sdn Bhd, dalam menetapkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Tambah beliau dalam masa terdekat KPDNHEP akan memulakan skim kawalan harga bagi Pesta Keaamatan dan Hari Gawai yang disambut oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Tarikh akhir penguatkuasaan bagi SHMMP ini akan berakhir 3 Jun.

– BERNAMA


Pengarang :