Ahli Dewan Negeri Pandan Indah Ir Izham Hashim meluangkan masa melawat tapak Projek Dapur Prihatin di Medan Selera Pandan Indah baru-baru ini.
ADNSELANGOR

Inisiatif murni NGO, Projek Dapur Prihatin wajar diperluas

SHAH ALAM, 6 MEI: Projek Dapur Prihatin, inisiatif murni badan bukan kerajaan (NGO) memberi makan kepada 250 penduduk termasuk gelandangan di sekitar Pandan, dekat sini setiap hari perlu diperluas dan diteruskan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah.

Ir Izham Hashim berkata pihaknya menyambut baik usaha digerakkan NGO terlibat dalam memastikan kebajikan rakyat terutamanya di Pandan terjaga dan diberi perhatian.

“Usaha Yayasan Prihatin Insan (YPI) dan Pertubuhan 5K Komuniti Pandan (P5KKP) dalam menguruskan Projek Dapur Prihatin bagi memberi makan kepada penduduk terputus bekalan makanan termasuk gelandangan merupakan satu inisiatif murni,” katanya dalam kenyataan hari ini.

EXCO Kerajaan Negeri itu juga memaklumkan turut melawat tapak projek berkaitan di Medan Selera Pandan Indah baru-baru ini dan menyumbang peruntukan kepada YPI untuk tujuan sama.

Selain itu, beliau berkata Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah setakat ini telah menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada lebih 2,000 keluarga terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan sejak hampir dua bulan lalu.

“Kehadiran beberapa NGO yang turut bersama membantu menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan dapat memastikan bantuan disalurkan dengan lebih menyeluruh,” katanya.


Pengarang :