Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) menyumbang 3,566 unit PPE yang dihasilkan IKTBN Sepang, Selangor dan Wakaf Tapai, Terengganu buat kakitangan klinik kesihatan di Kuala Lumpur pada 12 Mei 2020. Foto ihsan ILKBS
AGENSISELANGOR

Institut kemahiran belia di Sepang hasilkan PPE buat barisan hadapan

SHAH ALAM, 13 MEI: Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) menyumbang 3,566 unit kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan kakitangan klinik kesihatan di Kuala Lumpur dalam memerangi pandemik Covid-19.

Alatan PPE yang diserahkan semalam terdiri daripada pelindung muka, apron plastik pakai buang, gaun pengasingan, pelindung but dan kepala yang dihasilkan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Sepang, Selangor dan Wakaf Tapai, Terengganu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya komited untuk terus membantu barisan hadapan menghadapi wabak dan sentiasa bersedia untuk terus membantu penghasilan PPE.

“Sehingga kini ILKBS telah menyiapkan kira-kira 70,000 unit peralatan PPE untuk keperluan agensi keselamatan dan kesihatan di seluruh negara.

“Dengan usaha sama ini, ILKBS menyasarkan untuk menghasilkan 80,000 lagi unit PPE sehingga pertengahan Jun bagi menampung keperluan di hospital dan klinik-klinik kesihatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Penghasilan PPE merupakan kerjasama strategik kementerian dengan penyaluran dana berjumlah RM100,000 kepada Pertubuhan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMY) pada 21 April lalu.


Pengarang :