AGENSISELANGOR

Jais buka perkhidmatan secara janji temu sahaja

SHAH ALAM, 4 MEI: Operasi perkhidmatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan dibuka secara janji temu sahaja mulai Rabu ini.

Unit korporat Jais berkata perkhidmatan yang ditawarkan hanya kepada pelanggan yang ingin mendapatkan kebenaran dan memperbaharui kebenaran berkahwin yang telah tamat tempoh sahaja.

“Hanya pelanggan yang mempunyai janji temu sahaja dibenarkan berurusan di Jais dalam usaha mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sehubungan itu, pelanggan diminta untuk membuat janji temu terlebih dahulu dengan menghubungi talian yang ditetapkan mulai 5 Mei (Selasa).

“Perkhidmatan lain selain yang dinyatakan adalah ditangguhkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pengoperasian secara janji temu dilaksanakan dengan mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Sepanjang tempoh PKPB, kaunter perkhidmatan Jais bagi perkhidmatan yang dibenarkan tersebut akan beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 1 petang,” katanya.


Pengarang :