AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais: Tiada transaksi bayaran zakat pada pagi raya

SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak membenarkan transaksi pembayaran zakat fitrah di semua masjid dan surau seluruh negeri ini pada pagi Aidilfitri, kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan dilakukan bagi memastikan tiada orang awam berada di sekitar dan ruang solat masjid serta surau ketika solat sunat Aidilfitri berjalan kecuali pegawai ditetapkan agensi itu.

“Ia sebagai langkah mengawal sebarang kejadian yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19, berdasarkan wujudnya trend masyarakat Islam sebelumnya bersesak-sesak menunaikannya di saat akhir pada pagi sebelum solat sunat Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata umat Islam yang dikira wajib menunaikan zakat berkaitan pada malam Aidilfitri hendaklah melunaskan kewajipan masing-masing dengan kadar segera bagi mengelak terlepas melakukan kefarduan itu.

“Bayaran zakat fitrah boleh dibuat sama ada secara dalam talian atau melalui amil yang dilantik di lokasi dan pada waktu ditetapkan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Orang awam juga boleh menghubungi LZS jika mahu mengenal pasti cawangan berhampiran atau kaedah untuk melunaskan bayaran zakat berkenaan.


Pengarang :