BUDAYARENCANA

Jalur malam

Oleh Lucy M

AKU ingat-ingat lupa cerita ini tapi lelaki itu mahu dikenali sebagai Lelaki Merah. Waktu lewat malam sebegitu, kau akan temui bermacam-macam orang, apatah lagi di dalam sebuah bar. Kelompok lewat malam tidak punya kekuatan untuk berdansa lama melainkan kekuatan untuk saling berbagi cerita. Ia sebenarnya rahsia-rahsia yang tidak lagi dapat ditampung dan melimpah keluar apabila malam semakin larut umurnya. Kau juga tahu, malam selalu saja mencopet rahsia-rahsia ini dari mimpi mereka yang sudah tidur dan menyembunyikannya di dalam gelas-gelas berisi kiub ais dan arak yang dipegang oleh mereka yang masih terjaga. Orang yang meneguknya kemudian bercerita panjang, tiba-tiba, kerana rahsia itu telah memasuki pembuluh darah mereka. Itulah cara lelaki itu bersalaman denganku, dengan memperdengarkan cerita yang begitu aneh. Aku hanya mengangguk, paling banyak ternganga-nganga sementara dia mensabdakan cerita-ceritanya.

Yang kesepian selalu saja mempunyai petualangan yang paling ulung, katanya. Orang-orang sepi sering terserempak dengan keajaiban. Tapi keajaiban memang begitu, ia malu-malu, ia hanya berlaku apabila kau bersendirian. Ketika kerumunan tiba, ia pantas lesap dari pandangan mata, asap sigaret juga tidak sebegitu cepat dibawa angin. Kau kenal Robert Johnson? Dia mula bertanya. Aku pernah mendengar nama itu, tapi aku menggelengkan kepalaku.

Nama itu nama akhbar dalam muzik blues, tapi hayatnya pendek. Pada usia 27 tahun, lelaki itu didakwa telah meninggal dunia tanpa pengetahuan orang. “Ia mati kerana dua perkara menurut orang-orang sekitarnya. Siplis atau diracun suami orang.” Matanya melirik-lirik kanan dan kiri, seperti ia perkara yang tidak harus diketahui. “Pemuzik ialah penggetar batin dan batin yang bergetar ialah batin yang ghairah”

Namun menurutnya, bukan kematiannya yang mahu diceritakannya, sebaliknya bagaimana lelaki yang mati muda itu menemui syaitan di persimpangan jalan dan menjadi pemuzik legenda dengan mencagarkan jiwa. “Setahun dia menghilang dari jalan-jalan dan bar tempat ia menghidupkan dirinya, apabila dia kembali, jari-jarinya meliuk lembut di leher dan tubuh gitar seperti duda yang mengharungi malam pertama buat kali kedua.” Mulutku tertutup apabila dia menyampaikan bahagian itu, barangkali abusurditi malam ini sudah cukup buatku. Aku sering mendengar kisah ganjil, bermacam-macam, tapi yang melibatkan syaitan, yang benar-benar mengaku bertemu malaikat terbuang itu, tak berupaya masuk ke dalam kepalaku.

“Mungkin kau tak percaya. Ia memang sebuah cerita aneh,” dia meneguk minumannya. Ceritanya memang panjang dan air di gelasku sudah kutambah dua tiga kali, tapi minumannya tak pernah habis, seakan-akan ia bertambah setiap kali dia meneguknya. Baunya juga begitu tengik seperti dendam kesumat di mata seorang janda yang teraniaya.

Ceritanya disambung lagi, tapi kali ini tanpa nama. Kali ini, ia merayap dekat, tidak seperti tadi, jauh di Delta, kali ini, dia bercerita mengenai orang-orang Asia. “Lelaki-lelaki sepi paling cekap menangkap bunyi. Ia gigih mendengar sekeliling bagi menutup bunyi sunyi dalam dirinya sendiri”

Lalu dia bercerita tentang hikayat seorang pemuda yang mengintai sekumpulan puteri kayangan yang mandi di sungai dan menyembunyikan pakaian salah seorang daripadanya agar tak berupaya memanjat langit semula. Puteri itu ditinggalkan bersendirian oleh kakak dan adiknya yang lain kerana derap kaki senja sudah semakin hampir. Malam tidak akan membenarkan sesiapa pun memanjat tebing langit kecuali doa-doa orang saleh dan yang terzalimi, itu pun hanya sedikit saja yang dibenarkan sampai ke puncak, yang lain, perlu beratur menunggu subuh. “Lelaki itu memang keji dan bacul. Dia memulangkan semula pakaian itu, tapi katanya dia menemuinya tersangkut di dahan pokok, mungkin monyet bermain dengannya, dan tindakan heroiknya itu membuatkan puteri itu jatuh hati dengannya.”

Dia cuma lelaki sepi, katanya lagi. Cerita itu mungkin sama sekali tidak berlaku. Tapi seperti yang dia sebutkan sebelum itu, keajaiban gemar mengekori mereka yang kesepian “Kau tak akan temui sekumpulan puteri kayangan bermain di anak sungai jika kau ke sana bersama lima orang kawan. Mungkin yang ada di gigi air ialah seekor babi jantan. Tanduknya berkilat, bulunya hitam kelabu seperti abu mayat soldadu yang tak layak ditanam tapi dibakar, badannya tegap, hembus nafasnya tajam menghiris telinga. Ia bukan binatang yang ragu-ragu. Ia yakin mampu merodok perutmu jika kau cemerkap atau berlari terlalu lambat. Bila babi itu pulang ke tempatnya, babi-babi lain akan melihat ususmu di tanduknya, pembuktian bahawa ia pemberani.”

Minumanku sudah habis, aku tidak bercadang untuk memesannya semula. Bukan kerana malam ini bukan malam yang baik untuk minum atau aku sudah merasa mabuk, aku jauh lebih utuh daripada enam gelas arak yang tak seberapa rasanya, tapi cerita-cerita lelaki itu seperti mengambil sesuatu dariku dan mengisinya dengan sesuatu yang asing. Lelaki Merah itu memakai baju putih berbelang merah (atau merah berbelang putih?) yang dimasukkan ke dalam seluar jeansnya. Stokingnya juga berwarna merah terang dan kasut kulitnya berkilat, mengingatkanku kepada tanduk babi yang diceritakannya tadi. “Ia cuma cerita, kau tak perlu begitu gelisah,” katanya sambil tersenyum.

Aku juga fikir begitu, bar ini sudah lama menjadi medan pertukaran kisah-kisah manis, pahit, banyak darinya sangat kelakar apabila kau mendengarnya buat kali pertama tapi kelucuannya akan berkurang apabila cerita itu diulang dan juga kisah-kisah yang tak harus diketahui oleh sesiapa pun. Ia hanyalah sebuah cerita, kataku pada diriku sendiri. Aku senyum padanya, mengucapkan terima kasih untuk cerita-cerita itu selain tanda aku mahu mengundur diri dan mempelawa untuk membayar minumannya. Dia angkat cawannya, mengangguk, yang kubaca sebagai sudah tentu.

Ketika mataku tertancap pada cawanku, refleksi lelaki itu pada kaca gelas membuatkan tubuhku menggeletar. Ia terasa dingin, tapi seperti ada yang pelan-pelan, membakar dari dalam.

 


Pengarang :