KPDNHEP boleh melaksanakan mekanisme kawalan harga barang jika berlaku kenaikan melampau. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jangan buat pembelian panik, elak harga barang naik

SHAH ALAM, 13 MEI: Penduduk Selangor dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik barang keperluan asas kerana stok dan keperluan sedia ada mencukupi.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata langkah itu juga dapat mengelakkan kenaikan harga barang keperluan.

“Pemantauan terhadap bekalan barangan #stoppanicbuying terus dilakukan terhadap 91 premis meliputi barangan basah dan kering serta barangan dalam tin supaya bekalan terkawal dan mencukupi.

“Kepada semua pengguna, kami memohon supaya tidak mengulangi #panicbuying (pembelian panik) kerana ia akan mengakibatkan kenaikan harga banyak barangan keperluan,” kata agensi tersebut di Facebook.

Sementara itu, KPDNHEP berkata pemeriksaan terperinci terhadap 62 barang terpilih di pasar raya dan pasar basah mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas pada setiap barangan yang dijual.

“Tiada tanda harga mengelirukan dan hasil pemeriksaan dilakukan mendapati harga dipamer sama dengan harga yang dibayar oleh pelanggan.

“Peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuatkuasakan KPDNHEP,” katanya lagi.


Pengarang :