Anggota polis bersama tentera memperhebatkan sekatan jalan raya di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi menghalang orang ramai berpusu keluar balik kampung sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangan cuba rentas negeri untuk sambut raya – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 19 MEI: Orang awam diingatkan tidak cuba merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung termasuk menggunakan laluan udara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran hanya diberikan atas hal kecemasan atau kerja dan perlu mendapat kebenaran polis.

“Ini termasuk penerbangan dalam negeri dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak. Orang ramai diminta untuk memohon kebenaran polis sebelum membeli tiket penerbangan. Jika diarah berpatah balik, anda sendiri yang rugi,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata setakat semalam, sebanyak 1,633 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba merentas negeri tanpa alasan kukuh dalam 149 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata penumpang ke Sabah dan Sarawak akan disaring sejurus tiba di lapangan terbang dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing jika negatif manakala yang positif dihantar ke hospital.

“Bagi yang ke Sarawak, mereka akan disaring sekali lagi pada hari ke-10 kuarantin wajib. Ingin ditegaskan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi perintah kuarantin wajib,” katanya.


Pengarang :