Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan heret negara ke kancah tidak menentu, tumpu bela rakyat

SHAH ALAM, 18 MEI: Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli Dewan Rakyat supaya tidak lagi mengheret negara ke kancah politik tidak menentu, terutama ketika rakyat berdepan masalah susulan Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berpesan wakil rakyat perlu menjadi teladan dalam menyemai nilai positif kepada rakyat.

“Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci, sebaliknya menjadi landasan kepada pencetus idea baharu untuk membangun dan menyatupadukan negara.

“Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan berpolitik termasuk menjiwai keluh kesah dan membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa rakyat akan terus bersatu-padu dan sepakat membangunkan negara jika tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

“Justeru, berbahaslah dengan penuh tanggungjawab dan sentiasa menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi rakyat jelata,” titah baginda.


Pengarang :