Selangorkini
Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jualan luar jangka, peniaga e-bazar Ramadan raih RM1,000 sehari

PETALING JAYA, 4 MEI: Rata-rata peniaga e-bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka puasa secara dalam talian di negeri ini memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sehari, kata ketua pegawai eksekutif Yayasan Hijrah Selangor.

Normaiza Yahya berkata usaha tersebut sekali gus mencapai matlamat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pendapatan peniaga yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Hasil jualan lebih 70 peniaga yang menyertai inisiatif e-bazar di 10 lokasi e-dapur amat menggalakkan dan nilai jualan di luar jangkaan kita.

Penghantar makanan perlu mengimbas kod QR data peribadi sebelum mengambil makanan yang ditempah melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini membuktikan perniagaan makanan tradisional boleh dipasarkan secara dalam talian, malah membuka minda peniaga yang tidak pernah menjual melalui kaedah ini,” katanya kepada SelangorKini di lokasi e-dapur di Bandar Utama, Damansara hari ini.

Normaiza berkata peniaga yang mengalami masalah modal turut ditawarkan pinjaman RM5,000 tanpa faedah bagi memastikan perniagaan berjalan lancar.

Setakat ini terdapat 10 lokasi e-dapur yang beroperasi iaitu Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya. Lokasi ke-11 di Batu Caves akan beroperasi Khamis ini.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang niaga untuk menjual juadah berbuka puasa melalui Grab dan Platform Selangor (Plats).

Penghantaran makanan melalui dua saluran e-dagang tersebut dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam hingga 1 tengah hari manakala pesanan dalam talian dibuka bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.


Pengarang :