Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang pada 23 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jumlah hukuman ingkar PKP terserah budi bicara mahkamah

SHAH ALAM, 6 MEI: Majistret atau hakim berkuasa untuk menentukan jumlah hukuman dikenakan terhadap pesalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bersesuaian dengan amalan negara demokrasi dan kebebasan sistem kehakiman, kerajaan tidak campur tangan dalam menentukan jumlah hukuman dan terserah kepada budi bicara mahkamah.

“Dalam undang-undang (Akta 342) hanya menyebut tidak lebih RM1,000, kuasa tentukan jumlah hukuman adalah kuasa majistret atau hakim.

“Mungkin fakta kes berbeza yang menjadi sebab hakim atau majistret putuskan sedemikian rupa,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai nilai hukuman denda yang berbeza dikenakan kepada individu tertentu yang melanggar PKP hingga menjadi perdebatan masyarakat.

Mengulas isu pajak gadai mengenakan faedah tinggi, Ismail Sabri berkata pajak gadai tidak boleh mengenakan faedah melebihi dua peratus.

“Kalau ada kenakan lebih dua peratus boleh laporkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), perkara ini di bawah mereka,” katanya.

 


Pengarang :