Pekerja Kenanga Wholesale City beratur untuk menyukat suhu badan sebelum masuk ke dalam premis sebagai syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan ketika tinjauan pada 5 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah kes baharu penentu lebih banyak sektor dibenar operasi

SHAH ALAM, 30 MEI: Jumlah kes baharu penularan tempatan Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadi penentu kemungkinan sektor sosial seperti sukan dan pendidikan dibenarkan beroperasi semula.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertimbangan untuk memberi lebih banyak kelonggaran itu dapat dilaksanakan sekiranya kes penularan tempatan kekal mencatatkan satu atau dua digit sebelum 9 Jun ini.

“Jika angka satu atau dua digit dapat dicapai, kita mungkin akan melihat pendekatan menyeluruh untuk membuka lebih banyak sektor seperti sosial, sukan dan pendidikan tetapi pada masa sama mengawal situasi (penularan Covid-19).

“Bagi sektor pendidikan, kita mungkin akan beri keutamaan kepada pelajar tingkatan lima dan enam atas kerana mereka perlu menduduki peperiksaan besar,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengakui pelaksanaan PKPB sejak lebih 24 hari lalu memberi kesan positif terhadap bilangan kes membabitkan rakyat tempatan yang mencatat angka rendah sepanjang tempoh berkenaan.

“Misalnya hari ini, selepas seminggu sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya 10 kes (rakyat Malaysia) dicatatkan dan ia sebenarnya memberi petanda positif.

“Malah, tahap disiplin sosial dalam kalangan masyarakat meningkat sehingga 95 peratus, jadi kita berharap kes baharu kekal pada satu atau dua digit untuk minggu berikutnya sepanjang musim perayaan Aidilfitri,” katanya.

Hari ini Malaysia merekodkan 30 jangkitan wabak Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara sebanyak 7,762.

Tiga daripada jumlah itu merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 27 adalah kes penularan tempatan dengan 17 adalah warga asing.


Pengarang :