Dua rakyat Malaysia di atas kapal Diamond Princess yang disahkan positif Covid-19 sedang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Kapal persiaran MV Diamond Princess akan berlabuh di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 19 MEI: Kapal persiaran MV Diamond Princess, yang dikuarantin di Yokohama, Jepun akibat pandemik Covid-19, kini sedang dalam pelayaran ke Malaysia untuk menambah stok barangan dan mengisi minyak.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Chong Sin Woon berkata kapal persiaran itu mempunyai sijil dan dokumen sebagai bukti yang ia telah menjalani proses sanitasi menyeluruh dan mendapat pengesahan kesihatan daripada Pihak Berkuasa Kuarantin Jepun iaitu tiada kes Covid-19 di dalam kapal itu.

“Pada 17 Mei, portal berita dalam talian Japan Times melaporkan MV Diamond Princess sedang dalam pelayaran ke Malaysia. Ia dijadual berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC) pada 26 atau 27 Mei dan akan meninggalkan pelabuhan dalam masa sehari atau dua hari. Ejen kapal persiaran itu telah menghantar permohonan ke Jabatan Kesihatan (Kementerian Kesihatan) dan Jabatan Imigresen pada 12 Mei untuk berlabuh di BCC bagi tujuan menambah stok barangan dan mengisi minyak.

“Permohonan mereka telah dirujuk kepada Jabatan Kesihatan Pelabuhan Klang untuk kelulusan dan pelepasan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Kami tidak mempunyai maklumat di mana pelabuhan seterusnya kapal persiaran itu selepas Pelabuhan Klang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chong berkata semua kru dan penumpang MV Diamond Princess sebelum ini telah turun di Yokohama dan ketika ini kapal persiaran itu mempunyai 172 kru baharu dan tanpa penumpang.

“Tiada kru yang berhenti belayar di BCC. Untuk rekod, kapal persiaran dibenar berlabuh di pelabuhan Malaysia untuk menurunkan penumpang Malaysia dan kru, menambah stok barangan, mengisi minyak dan kerja-kerja pembaikan.

“LPK dan agensi kerajaan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada peruntukan dan peraturan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kami akan mematuhi sepenuhnya. Semua keputusan KKM berhubung perkara ini adalah muktamad dan akan dipatuhi LPK dan agensi yang berkaitan,” kata Chong.

Beliau menambah sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Malaysia adalah di barisan hadapan, memudahkan perdagangan dan pelancongan maritim global dan serantau.

Chong berkata dalam tempoh yang mencabar ini terutama bagi industri kapal persiaran, Pelabuhan Klang selaku hab maritim terkemuka di rantau ini akan menghulurkan bantuan untuk memenuhi keperluan utama kapal persiaran termasuk penambahan stok barangan, perkhidmatan bunkering (pengisian minyak) dan kerja-kerja pembaikan di samping memastikan tindakan dan langkah berjaga-jaga dapat dipatuhi mengikut keperluan negara dalam aspek kesihatan dan keselamatan.

– BERNAMA


Pengarang :