Petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kawalan di pusat jagaan orang tua diperketat, bendung penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Laporan bahawa 21 kes jangkitan Covid-19 dikesan di beberapa pusat jagaan orang-orang tua di Malaysia telah menyebabkan para pengusaha pusat jagaan bertindak segera untuk memperketat peraturan bagi membendung penularan pandemik yang ditakuti itu daripada menular kepada golongan yang lemah dan mudah dijangkiti dalam masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu pemberita 21 penghuni dan petugas di pusat jagaan diuji positif Covid-19 daripada 9,322 sampel yang diambil sehingga kini.

“Sebanyak 267 buah rumah orang tua telah diuji setakat ini. Jumlah kes positif adalah 21 kes bersamaan dengan 0.2 peratus,” katanya baru-baru ini.

Beberapa pengusaha pusat jagaan orang-orang tua memberitahu Bernama bahawa mereka sedang mencari kaedah untuk memperketat prosedur semasa dan memperkemaskan sebarang kelemahan dalam peraturan.

Pengasas dan Pengarah Rumah Jagaan Solace Care di Taman OUG di Lembah Klang, Sunny Manocha berkata pusat jagaannya mungkin akan ditutup sekali lagi.

“Kami percaya, mereka (penghuni pusat) mudah dijangkiti virus ini dan mereka sudah tua dan lemah,” kata wanita itu sambil menambah pusat jagaannya turut menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap petugas dan penghuninya.

Solace Care melonggarkan peraturan susulan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei, dengan membenarkan anggota keluarga melawat penghuni pusat jagaan untuk seminggu sekali, namun setelah mereka disahkan negatif ujian Covid-19.

Selain daripada lawatan itu, peraturan lain masih kekal iaitu petugas harus berada di tempat tinggal yang disediakan oleh pusat jagaan dan hanya dibenarkan keluar untuk pergi bekerja, mengikut panduan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ketua Pegawai Pemasaran CARE Concierge, Anna Chew, yang menguruskan pusat jagaan The Mansion berkata, beberapa langkah turut dilaksanakan bagi membendung sebarang kes jangkitan termasuk melarang pelawat, menyaring mereka yang memasuki premis dan menetapkan syarat kepada petugas untuk terus berada di lokasi.

Beliau berkata pusat jagaan akan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang antaranya menetapkan penghuni memakai alat pengesan yang akan memaklumkan petugas pusat jagaan jika penghuni duduk berdekatan antara satu sama lain.

Pemilik Whitedove Retirement Home, Gopal Thirumalai, pula mengesahkan pusat jagaannya akan meneruskan peraturan mereka, sama seperti pusat jagaan lain.

Presiden Persatuan Pengusaha Rumah Orang Tua Malaysia (Age Cope) Delgren Terrence Douglas berkata jangkitan tidak akan berlaku jika pematuhan terhadap panduan yang ditetapkan diikuti.

Persatuannya mewakili lebih 200 fasiliti, daripada 1,700 yang dianggarkan terdapat di Malaysia.

“Penyebaran Covid-19 berkemungkinan datang daripada luar, daripada pelawat atau petugas. Jadi selagi para pengusaha pusat jagaan mematuhi panduan yang ditetapkan dan menutup sepenuhnya pusat jagaan (daripada pelawat), mereka akan selamat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan, langkah penutupan sepenuhnya pusat jagaan tidak boleh dilaksanakan untuk tempoh yang lama kerana penghuni, anggota keluarga, saudara-mara dan petugas, kini sudah tertekan kerana hidup berjauhan dan berasingan.

“Sebab itu kami memohon melalui Universiti Malaya untuk Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan saringan penuh terhadap pusat-pusat penjagaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :