Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada peniaga di Pasar Awam Taman Megah di Petaling pada 28 April 2020.
AGENDANASIONAL

Kawalan ketat dikenakan di lokasi kerja jika Covid-19 merebak

SHAH ALAM, 1 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menasihatkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di premis atau lokasi kerja yang berlaku penularan baharu Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia antara tindakan KKM untuk memastikan tiada peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak, susulan keputusan kerajaan membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin.

“Pemantauan adalah tanggungjawab bersama pihak berkuasa, kalau di kilang pihak berkuasa berkenaan kena pastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

“Dari semasa ke semasa kita akan lihat pada penguatkuasaan setiap agensi pelaksana, yang pasti kena patuh SOP ditetapkan KKM.

“Kalau tak patuh, contoh berlaku penularan kes, kita akan laksanakan PKPD, buat saringan kesihatan, asingkan mereka yang positif serta kuarantin kontak mereka,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Sambil mengalu-alukan keputusan kerajaan, Dr Noor Hisham berkata ia dibuat selepas perbincangan semua kementerian bersama KKM berdasarkan enam kriteria disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Pertama kawalan sempadan masih diketatkan berbanding negara lain bila beri kelonggaran atau henti kawalan pergerakan, kawalan sempadan dihentikan.

“Matlamat utama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melandaikan lengkuk kes positif Covid-19, kita telah berjaya dan hari ini kes terkawal, malah penggunaan katil hospital kurang 13 peratus, begitu juga penggunaan unit rawatan rapi dan ventilator,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting komuniti bersama kementerian berkaitan lain perlu memberi perlindungan kepada golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).

“Perlu kekal amalan penjarakan sosial, tiada perhimpunan dan jaga kebersihan diri, selain beri penekanan pemerkasaan dalam komuniti untuk melaksanakan tindakan mengikut SOP KKM,” katanya.


Pengarang :