AGENDAEKONOMINASIONAL

KDNK suku pertama 2020 berkembang sederhana 0.7 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih sederhana iaitu 0.7 peratus bagi suku pertama 2020 berbanding dengan 4.5 peratus semasa suku yang sama tahun lepas, susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah terjejas berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata selepas mencatatkan pengembangan stabil pada dua bulan pertama tahun ini, aktiviti ekonomi mengalami penyusutan mendadak berikutan PKP mulai 18 Mac.

“Sekatan pergerakan termasuk sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik, pengehadan kerja dan tempoh operasi serta penjarakan sosial wajib telah amat membataskan aktiviti ekonomi.

“Pengeluaran hanya dibenarkan untuk barang dan perkhidmatan penting serta industri penting bersama rantaian bekalan mereka. Sektor berintensifkan pekerja dan berorientasikan pengguna turut terjejas,” menurut bank pusat dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pengumuman prestasi KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020 hari ini.

Semasa tempoh tersebut, BNM berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana pada kadar 0.9 peratus, mencerminkan terutama luputnya baki kesan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta inflasi barangan harganya yang tidak menentu yang lebih rendah manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.3 peratus.

Bagi perkembangan kadar pertukaran, ringgit menyusut nilai sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku pertama 2020, berikutan aliran keluar portfolio bukan pemastautin yang besar dengan nilai berjumlah RM26.2 bilion (US$6.3 bilion) susulan aktiviti penghindaran risiko yang semakin meningkat di peringkat global.

– BERNAMA


Pengarang :