Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDA NASIONAL

KEADILAN mahu kerajaan atasi isu pendidikan, hal berbangkit

SHAH ALAM, 31 MEI: Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) menggesa kerajaan supaya menumpukan usaha menangani isu pendidikan dan lain-lain hal berbangkit yang banyak mengundang kesusahan dalam kalangan rakyat kebelakangan ini.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata fokus harus diberikan memandangkan tiada dasar jelas dilaksanakan kerajaan berhubung aspek itu pada waktu ini terutama ketika negara berdepan krisis Covid-19.

“Kita perlu ulas (aspek) pendidikan, banyak pengumuman dibuat misalnya e-pembelajaran, namun mereka yang tinggal di kawasan kampung dan pedalaman tidak mempunyai jaringan internet sehingga berlaku kesenjangan dengan menyaksikan golongan kaya ke hadapan dan orang miskin di kampung ke belakang.

“Begitu juga masalah dibangkitkan penyewa rumah dan kedai, harus ada moratorium untuk membayar sewa. Saya sendiri tidak mungkin tahu semua melainkan dengar pandangan ahli parlimen, persatuan pengilang, penjaja dan turun ke bawah dengar kegelisahan rakyat,” katanya pada siaran langsung di Facebook malam ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata pandangan setiap ahli dalam sesuatu perbincangan penting dalam mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan rakyat.

“Cuba hidupkan (amalan) syura, kita bagi (ahli) kemukakan pandangan, lebih-lebih lagi sekarang ini kita berdepan Covid-19 jadi apa yang perlu diketengahkan dan ini (syura) harus dijadikan landasan perjuangan,” tambah beliau.


Pengarang :