AGENDANASIONAL

Keahlian Dr Mahathir, empat ahli parlimen Bersatu terhenti serta-merta

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Turut menerima nasib yang sama ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah, serta Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berhubung perkara itu tular di media sosial hari ini.

“Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB Tun juga telah menyertai dan duduk di blok pembangkang.

“Maka, dengan ini dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, keahlian YB Tun dalam Bersatu adalah terhenti serta-merta,” menurut surat itu.

Surat itu juga menyatakan kelima-lima ahli Parlimen berkenaan duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi Bersatu pada sidang Dewan Rakyat lepas.

Sementara itu, Syed Saddiq gagal dihubungi bagi mengesahkan tentang surat tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :