Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Sumbangan Kasih Ramadan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Selangor kepada Pegawai Daerah Petaling, Johari Anuar di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 12 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kebenaran operasi sektor tertangguh diputus hari ini – MB

SHAH ALAM, 12 MEI: Kebenaran untuk sektor yang operasinya ditangguhkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPDB) bakal diputuskan hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tak banyak (sektor ditangguhkan) sebenarnya hanya babitkan penjaja, kedai makan dan aktiviti rekreasi yang terhad. Berbanding negeri lain kita laksanakan (benarkan operasi) 90 peratus sejak 4 Mei.

“Kenapa kita buat? Kerana kita mahu lihat penerimaan rakyat terhadap pembukaan sektor tertentu dan tak mahu tergesa-gesa sebaliknya semua berjalan lancar cuma pada sektor pembinaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kasih Ramadan hari ini.

Berkenaan penularan jangkitan wabak Covid-19 di pasar basah, Amirudin berkata pihaknya akan melihat sama ada wujudnya keperluan menambah garis panduan atau mengetatkan penguatkuasaan di kawasan terbabit

Katanya keputusan akan dibuat selepas isu terbabit dibincangkan dalam dua mesyuarat membabitkan Majlis Keselamatan Negeri dan PBT hari ini.

“Kita terbuka adakan perbincangan dengan pihak yang laksanakan penguatkuasaan kerana mereka berdepan kesukaran. Kita faham dan tidak akan beri arahan semborono.

“Bagi sektor pembinaan, semua syarikat diminta menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19 bagi mengelakkan wujudnya penularan jangkitan itu dari lokasi terbabit,” katanya.

Ahad lalu, kerajaan mengisytiharkan kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 23 Mei susulan terdapat 26 kes positif Covid-19 di kawasan itu yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan.


Pengarang :