Imam-imam Masjid Negeri berdoa setelah selesai berselawat dan zikir ketika Program Rakyat Selangor Berdoa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kebenaran solat di masjid diumum selepas perkenan Agong – PM

SHAH ALAM, 10 MEI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memperhalusi tatacara operasi piawai (SOP) bagi solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana menteri berkata kerajaan akan mengumumkan kebenaran bersolat jemaah di masjid apabila SOP berkenaan dimuktamad dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah, kita doakan keadaan bertambah baik.

“Tambahan pula banyak kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP teratur, saya percaya masjid di kawasan ini bersedia dibuka kepada ahli kariah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Tambah beliau kerajaan juga akan mengumumkan SOP tertentu bagi gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain.

“Kerajaan akan mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat,” katanya.


Pengarang :