PENDAPATRENCANA

Kecerdasan buatan: Pilihan ekonomi, perniagaan depani impak Covid-19

Oleh Farhana Poniman

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Memandangkan pilihan tanpa kontak kini dilihat penting untuk membendung penularan jangkitan virus yang menggemparkan dunia, penggunaan data raya dan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan serta kehidupan seharian nampaknya lebih meluas sekarang berbanding sebelum ini.

Malaysia mencapai banyak kejayaan dalam meratakan lengkungan jangkitan Covid-19, tetapi masih terlalu awal untuk menarik nafas lega kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan amaran bahawa wabak itu memerlukan masa hingga lima tahun sebelum dapat dibendung.

Malaysia mengalami kerugian RM63 bilion semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 47 hari dan merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Walaupun kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun risiko gelombang kedua masih wujud.

Dalam situasi itu, penggunaan data raya, AI, bekerja secara jarak jauh dan automasi merupakan satu-satunya pilihan untuk daya tahan masa depan ekonomi dan perniagaan.

Pandemik ini telah mempercepat keperluan terhadap semua teknologi itu.

AI – Nadi Normal Baharu

Ketua Pegawai Eksekutif Skymind Holdings, Shawn Tan berkata, PKP menunjukkan betapa pentingnya teknologi untuk memastikan kesinambungan perniagaan, lebih-lebih lagi apabila para profesional bekerja secara jarak jauh.

Skymind Holdings merupakan pembangun ekosistem AI khusus pertama di dunia.

“Ketika Malaysia dan dunia memasuki era normal baharu, kami menjangkakan teknologi — terutama AI — akan terus berperanan penting dalam meningkatkan produktiviti dan menjana pendapatan untuk syarikat yang menggunakannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata teknologi khusus ini boleh diterapkan ke dalam semua sektor dan manfaat AI pula tidak terbatas, termasuk menjimatkan masa dan wang, menghasilkan wawasan perniagaan serta menambah baik pengalaman pelanggan.

AI mempunyai kemampuan untuk menganalisis sejumlah besar data dalam sekelip mata, satu tugas yang bukan sahaja memerlukan tenaga kerja manusia yang gigih, sukar dan memenatkan serta mengambil masa yang panjang malah mustahil untuk diselesaikan.

Terdapat pelbagai faktor untuk meneroka penggunaan AI dan satu daripadanya adalah memproses dunia data yang semakin berkembang.

“Data kadang-kadang digelar ‘minyak baharu’ kerana ia telah menjadi sumber ekonomi digital yang tidak ternilai. Bagaimanapun, data raya sekali pun tidak akan berguna jika anda tidak dapat memahaminya.

“AI dapat membantu perniagaan berasaskan data memproses berbilion-bilion titik data dalam sekelip mata. Apa sahaja persoalan yang anda mahu dijawab oleh AI, ia dapat melakukannya dan menjadi semakin baik untuk menyelesaikan persoalan anda,” katanya.

Beliau berkata selain itu AI boleh menyediakan jangkaan tepat mengenai prestasi hasil masa depan berdasarkan data yang direkodkan sebelum itu, yang sangat memberi manfaat kepada perrniagaan di mana saja.

Hanya 26 Peratus Organisasi Guna AI

Kajian Microsoft dan IDC Asia Pasifik bertajuk ‘Future Ready Business: Assessing Asia Pacific’s Growth Potential Through AI’ (Perniagaan Bersedia Bagi Masa Depan: Menilai Potensi Pertumbuhan Asia Pasifik Menerusi AI’ tahun lepas mendapati Malaysia masih belum bersedia menggunakan AI.

Ia mendapati hanya 26 peratus organisasi yang telah mula menggunakan teknologi itu.

Mengulas lanjut, Tan berkata perniagaan di Malaysia perlu meningkatkan kesediaan mereka dengan lebih ketara mengenai bagaimana AI boleh membantu ketepatan, keberkesanan dan produktiviti mereka untuk berjaya dalam persaingan teknologi itu.

Justeru, kerajaan Malaysia berserta agensi dan penggiat industri yang relevan berganding bahu untuk menggalakkan dan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan melabur untuk AI.

“Kami telah didorong oleh usaha kerajaan ke arah lebih banyak pendigitalan. Pengumuman berkaitan dasar mampan, khususnya belanjawan yang dibentangkan tahun lepas akan menjadi pemangkin utama untuk meneruskan pemacuan penggunaan lebih banyak peranti dan platform di sini. Kesemua itu akan memacu ke arah meningkatkan jejak data,” jelasnya.

Beliau berkata pemimpin perniagaan di Malaysia berminat dengan pelaksanaan AI dan kebanyakan mereka telah memulakan inisiatif transformasi AI mereka bersama Skymind.

Potensi Malaysia Sebagai Pasaran Bersedia Bagi AI

Meskipun mencatatkan kadar penerimagunaan AI yang rendah pada masa ini, Skymind melihat Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan yang bernilai tinggi dan mempunyai potensi meluas dari segi tenaga kerja, infrastruktur dan rakan kongsi yang berminat untuk mengembangkan ekosistem AI.

Tan berkata Malaysia mempunyai kumpulan bakat besar yang memerlukan kepakaran dan infrastruktur Skymind untuk merealisasikan potensi mereka sebagai pasaran bersedia AI yang kukuh.

Awal tahun ini, Skymind menerusi cabang usaha niaganya, Skymind Global Ventures melancarkan dana pelaburan berjumlah US$800 juta untuk menyokong kemajuan ekosistem AI

Dana itu bertujuan memberikan galakan kepada syarikat yang mengkhusus dalam teknologi tersebut selain menyokong penyelidikan bebas dan program universiti yang memberi tumpuan kepada AI.

Beliau berkata dana itu juga mewujudkan portfolio syarikat yang menguntungkan dan memupuk pembangunan inovasi AI di seluruh dunia dengan pelaburan dana akan ditentukan oleh pasukan eksekutif yang berpangkalan di ibu pejabat Skymind di London.

Skymind telah mengenal pasti enam syarikat pemula niaga menerusi program Skymind Launchpad pada suku pertama tahun ini yang memiliki tenaga kerja mengagumkan dari Malaysia, Singapura, China, Jepun dan Australia.

“Apa yang benar-benar menarikperhatian kami adalah kesemuanya bersedia untuk bergerak dan memajukan syarikat masing-masing di Malaysia.

“Menerusi program yang sedang dilaksanakan ini, kami berharap lebih banyak syarikat tempatan di rantau ini menerima manfaat daripada pakar luar negara yang kami bawa dan lebih banyak produk AI dbangunkan sama ada di Malaysia atau rantau ini,” katanya.

Dasar Data dan AI Nasional Malaysia dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini untuk melengkapi Rangka Kerja AI Nasional.

-BERNAMA


Pengarang :