EXCOSELANGOR

Kejohanan e-sukan Selangor, tawar hadiah RM250,000

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri menganjurkan ‘Selangor Xtiv Virtual E-Sports 2020’ (SXVE20) dengan menawarkan hadiah terkumpul sejumlah RM250,000 untuk pelbagai kategori dan peringkat, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata kejohanan julung kali dengan kerjasama Sukan Elektronik Selangor itu mula berlangsung sejak semalam hingga Disember 2020.

Beliau berkata SXVE20 adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan penglibatan aktif rakyat Malaysia terutamanya golongan belia di Selangor melakukan aktiviti berfaedah di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada program ini, kita memberi fokus kepada penyertaan bukan profesional serta terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk permulaan, lima permainan akan dipertandingkan iaitu Mobile Legends Bang Bang, PUBG Mobile, FIFA 20, Pro Evolution Soccer (PES20) dan Dota.

Mereka yang berminat boleh layari Facebook Selangor Xtiv Virtual 2020 dan @EsportSelangor atau menghubungi sekretariat program Mohd Hafis Khairulah di talian 012 677 4294 atau Suhaila Kamal (012 546 3464).


Pengarang :