SELANGOR

Kempen amal FAS bantu ringan beban peminat

SHAH ALAM, 16 MEI: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melancarkan kempen amal menerusi jualan baju ‘NEVER GIVE UP’ dengan sebahagian keuntungan akan disalurkan kepada mereka memerlukan oleh pemain pasukan itu.

FAS memaklumkan inisiatif itu sebagai menyertai usaha pemain meringankan beban beberapa keluarga dalam kalangan penyokong skuad Gergasi Merah dan juga solidariti persatuan kepada petugas barisan hadapan.

“Kami menyambut baik usaha pemain memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas mata pencarian sejak penularan wabak Covid-19.

“Kami percaya usaha yang kecil ini akan lebih besar maknanya jika kita bersatu dan lakukannya bersama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Setiap helai baju itu dijual pada harga RM35 tidak termasuk kos penghantaran atau peminat boleh mendapatkannya di kompleks latihan pasukan di SUK di sini.


Pengarang :