Anggota polis dan tentera mengawal aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan pada 21 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kenderaan barangan dibenar berada di jalan raya semasa Aidilfitri

PUTRAJAYA, 21 MEI: Tiada larangan untuk kenderaan barangan berada di jalan raya semasa perayaan Aidilfitri 2020, demikian menurut Kementerian Pengangkutan hari ini.

Ini kerana negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan peraturan sedia ada dalam tempoh PKPB itu telah mengambil kira serta merangkumi kesemua faktor termasuk keselamatan dan ekonomi, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Malaysia lazimnya mengenakan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada berada di jalan raya bagi beberapa hari yang ditetapkan sempena perayaan Aidilfitri.

Ia bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya bagi pengguna yang ingin pulang ke kampung serta mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Pergerakan kenderaan barangan dalam tempoh PKPB ini perlulah mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan,” menurut kementerian itu.

-BERNAMA


Pengarang :