Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan berpolitik ketika Covid-19, ambil alih negeri PAKATAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan berpolitik ketika wabak Covid-19 melanda tanah air dengan mengambil alih negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menukar beberapa kerajaan negeri, terbaru di Kedah.

“Tapi apa yang kita lihat setakat ni, apa yang dilakukan oleh kerajaan lebih merupakan politik daripada pentadbiran menangani masalah Covid-19.

“Kita lihat bahawa kerajaan negeri juga ditukar, walaupun Bersatu masih ada dalam pusat tetapi kerajaan Bersatu di Johor dan Kedah sudah pun ditukar untuk beri kepada satu pihak, bagi pada Umno dan Pas.

“Saya tak tau ini perjuangan Bersatu untuk beri tempat pada parti lain. Di Melaka juga kucar kacir. Setelah itu, Muhyiddin bagi ucapan bahawa dia tak berpolitik,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan Johor berikutan pengisytiharan BERSATU keluar PAKATAN, diikuti Melaka pada 9 Mac susulan beberapa wakil rakyat berpaling tadah.

Semalam, Kedah pula jatuh ke tangan PN berikutan dua wakil rakyat KEADILAN lompat parti.

Pada sidang media selepas sidang Dewan Rakyat hari ini, Mahathir juga mengulangi kritikan berikutan tempoh persidangan hanya berlangsung beberapa jam.

Hanya sesi Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijalankan pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 tanpa sebarang perbahasan.


Pengarang :