Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan tidak tanggung kos hotel kuarantin bukan warganegara

SHAH ALAM, 14 MEI: Kerajaan tidak menanggung kos penginapan hotel pasangan atau anak kepada warganegara Malaysia berstatus pemastautin tetap dan pemegang pas lawatan sosial jangka panjang.

Justeru, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu menjelaskan bayaran hotel sepanjang tempoh 14 hari kuarantin atau berdepan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.

“Kita terima aduan ada yang enggan membayar kos penginapan hotel, jadi kita mengarahkan Jabatan Imigresen mengambil tindakan termasuk membatalkan kemudahan yang dinikmati mereka selama ini.

“Contohnya, mungkin sebelum ini tempoh memperbaharui pas lawatan adalah dalam tempoh tiga tahun, jadi mungkin selepas ini kita ketatkan peraturan kepada tiga bulan sekali,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata, Pejabat Peguam Negara meneliti perkara tersebut sebelum tindakan undang-undang selanjutnya diambil.

“Kerajaan menanggung kos kuarantin wajib bagi warganegara Malaysia sahaja dan seramai 33,807 rakyat yang pulang dari luar negara  dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

“Setakat ini, seramai 26,121 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.


Pengarang :