ADNSELANGOR

Kerjasama semua bantu Kuala Selangor cegah Covid-19

SHAH ALAM, 17 MEI: Komitmen tinggi semua agensi kerajaan di Kuala Selangor membolehkan daerah berkenaan bertukar status kepada zon hijau kes Covid-19 semalam, kata Ahli Dewan Negeri Permatang.

Rozana Zainal Abidin berkata beliau gembira dengan perkembangan itu apabila kes aktif wabak berkenaan susut ke angka sifar sekali gus menjadikan daerah itu sebagai zon hijau kedua di Selangor selepas Kuala Langat.

“Ternyata komitmen tinggi agensi kerajaan termasuk polis, pejabat kesihatan daerah dan Majlis Daerah Kuala Selangor yang menjalankan sanitasi di tempat awam telah mendatangkan impak cukup positif.

“Saya percaya berita gembira ini sememangnya dinantikan penduduk setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Kuala Selangor menjadi daerah terbaharu di negeri ini diisytihar sebagai zon hijau susulan tiada pertambahan kes aktif Covid-19.

Namun begitu Rozana berkata beliau berharap penduduk tidak leka dan terus mendisiplinkan diri dengan norma baharu.

“Pertahankan diri dengan tetap berada di rumah sekiranya tiada keperluan penting untuk berurusan di luar. Kerjasama rakyat Selangor diperlukan dalam menjayakan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani Covid-19,” katanya.


Pengarang :