Jabatan Kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing di Padang Polo, Kuala Lumpur bagi mengawal penularan Covid-19 pada 14 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes Covid-19 di Selangor kekal satu digit lima hari berturut-turut

SHAH ALAM, 14 MEI: Selangor berjaya mengekalkan satu digit kes baharu Covid-19 selama lima hari berturut-turut bermula 10 Mei lalu.

Pada 10 Mei, Selangor merekodkan lapan kes, tiga kes pada 11 dan 12 Mei serta dua kes semalam. Hanya satu kes dilaporkan hari ini dengan jumlah kes terkumpul 1,613.

Bagaimanapun, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi arahan kerajaan bagi mengelak pertambahan kes baharu.

“Syabas, Selangor! Tetapi ingat, kebebasan PKPBD (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarar Diubahsuai) akan ditarik balik jika cuai sehingga tercetus jangkitan baharu,” tulisnya di Twitter malam ini.

STFC turut memaklumkan 33 mukim diisytihar zon hijau selepas Ijok, Api-api dan Ampang Pecah tidak mencatatkan sebarang kes.

“Satu perkembangan yang baik, namun berjaga-jaga. Jika tidak patuh PKPBD, kita akan lihat zon merah semula seperti dulu,” katanya.

Malaysia merekodkan 40 kes Covid-19 hari ini dengan 31 daripadanya dalam kalangan warga asing.


Pengarang :