Anggota Tentera memeriksa beberapa premis di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 20 April 2020. Foto: BERNAMA
ADNSELANGOR

Kes Covid-19 Kuala Selangor meningkat, terus kawal pergerakan

SHAH ALAM, 5 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menasihatkan penduduk Kuala Selangor terus duduk di rumah susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah itu semalam.

Beliau juga mengingatkan penduduk supaya meneruskan amalan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga tiga walaupun negara sudah memasuki perintah kawalan bersyarat dengan beberapa kelonggaran diberi kepada rakyat.

“Harus diingatkan kita kini berada dalam kehidupan norma baharu, pencegahan itu lebih baik daripada merawat selagi vaksin wabak ini belum ditemui,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peningkatan kes di Kuala Selangor yang dipercayai ada kaitan dengan kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sementara itu ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata peningkatan kes di mukim Tanjong Karang membimbangkan dan menyeru masyarakat patuh arahan Kerajaan Negeri dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

“Terus duduk di rumah sekiranya tiada keperluan mendesak dan pastikan kita memakai pelitup muka jika perlu berada di luar selari dengan arahan Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Kuala Selangor mencatatkan peningkatan daripada 35 kes pada 1 Mei kepada 49 kes sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Mengikut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), pada tempoh sama, hanya satu kes aktif Covid-19 dicatatkan pada 1 Mei namun meningkat kepada 13 kes pada 5 Mei.


Pengarang :