Pasukan penguat kuasa KPDNHEP cawangan Gombak melakukan pemeriksaan di premis runcit sekitar Gombak pada 1 Mei 2020. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

Kes kesalahan peniaga turun, 70 kes sahaja sepanjang musim perayaan

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyifatkan penurunan kes kesalahan peniaga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) tahun ini sebagai perkembangan positif.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP, Azman Adam berkata pihaknya telah mengesan 70 kes sahaja tahun ini, berbanding mencecah lebih 300 kes sepanjang perlaksanaan SHMMP tahun lepas.

Beliau berkata kesalahan yang dikesan membabitkan peniaga meletakkan harga tinggi pada barang yang dikawal dan tidak meletakkan tanda harga pada barang.

“Pihak kami melihat perkara ini sebagai satu perkara yang positif, ia menunjukkan pematuhan oleh peniaga-peniaga semakin baik dan kesedaran mereka juga bertambah.

“Kementerian berharap selepas tamat SHMMP ini peniaga akan terus mengamalkan etika harga barang dengan baik dan tidak ada yang menaikkan harga selepas tamatnya skim ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan dan pemeriksaan SHMMP di Pasar Moden Sri Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata, antara punca kes berkurangan tahun ini adalah kerana harga terhadap barang yang dikawal mengambil kira beberapa faktor, yang membolehkan peniaga mendapat keuntungan dengan mengikut harga yang ditetapkan.

Katanya, faktor lain ialah peranan aktif pengguna tahun ini kerana pihaknya telah menerima banyak aduan yang membantu tugas penguatkuasaan.

“Semalam kita ada 20 kes baharu dan kebanyakan kes pelanggaran hanya melibatkan pasar mini dan pasar raya, ini satu petunjuk yang baik kerana selalunya kesalahan ini dilakukan di pasar basah, tapi tahun ini kita dapati pematuhan di pasar basah semakin baik,” katanya.

Beliau berkata daripada 20 kes itu KPDNHEP telah mengutip kompaun sebanyak RM85,000.

Azman berkata sejak pelaksanaan SHMMP, KPDNHEP telah melakukan sebanyak 22,852 pemeriksaan di premis-premis perniagaan di seluruh negara dan semalam pegawai penguat kuasa telah membuat 2,200 pemeriksaan.

– BERNAMA


Pengarang :