Petugas Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan Covid-19 di kawasan kawalan secara pentadbiran di sekitar Pudu ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Kediaman sempit pekerja asing mungkin punca Covid-19

SHAH ALAM, 25 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyaki kediaman pekerja asing yang tertutup dan sempit menjadi punca wujudnya kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2 hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 44 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini selepas saringan dilakukan dan pihaknya masih menyiasat perkara berkenaan.

“Daripada kajian kita, besar kemungkinan mereka yang bekerja di tapak pembinaan itu duduk di tempat tertutup atau ruang sempit. Itu kita rasa menjadi fakor utama bagaimana wabak ini dapat menular dalam kalangan pekerja asing.

“Tatacara operasi piawai (SOP) tapak pembinaan ada tetapi mereka hanya lihat SOP di tapak pembinaan, kilang atau tempat kerja. Tetapi apa yang penting kita melihat kepada penempatan mereka,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sehingga sekarang masih belum ada vaksin Covid-19 ditemui namun penjarakan sosial merupakan vaksin terbaik ketika ini.

KKM sebelum ini menemui 28 kes positif membabitkan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur pertama selepas saringan awal yang dibuat 3 Mei lalu.


Pengarang :