AGENDANASIONAL

KKM kesan kluster baharu di madrasah Solok Duku

SHAH ALAM, 14 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan madrasah tahfiz di Solok Duku, Melaka.

Ketua pengarah kesihatan berkata ia susulan empat kes Covid-19 dikesan selepas 35 pelajar, sepuluh guru dan kakitangan serta 62 ahli keluarga warga madrasah disaring.

“Keputusan (saringan) mendapati empat positif iaitu dua orang pelajar dan dua lagi dalam kalangan ahli keluarga mereka,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sehingga kini KKM mengesan enam kluster membabitkan pusat madrasah tahfiz dengan empat daripadanya adalah subkluster Seri Petaling.

Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya menjalankan persampelan terhadap 12,384 individu terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan di 370 madrasah tahfiz seluruh negara.

“Keputusan mendapati 635 kes positif, 10,755 negatif manakala 994 kes masih menunggu keputusan.

“Kementerian menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu di pusat tahfiz susulan penularan kes Covid-19 dalam kalangan peserta himpunan di Seri Petaling,” katanya.


Pengarang :